Tuesday, April 5, 2011

Jackub Vagner-Pemancing Muda Terhebat


Jakub Vagner pemburu ikan sejati

Pahlawan Ikan (Fish Warrior), Jakub Vagner, 30, cukup dikagumi kaki pancing di seluruh dunia kerana kebolehannya memancing serta mendaratkan ikan bersaiz mega.
Lelaki kurus dan berambut perang yang berasal dari Republik Czech ini.
berpengalaman luas dan terbabit dengan semua aktiviti memancing secara ekstrem di perairan masin ataupun tawar di seluruh dunia.

Tidak hairanlah pada seusia sebegini, beliau pernah menjadi jurupandu yang paling berjaya di Australia dan negara-negara Eropah yang memerlukan khidmat beliau bagi mencari spesis terbesar untuk tujuan kajian saintifik.

Sepanjang pencapaian dalam arena memancingnya, Vagner pernah menaikkan ikan pemangsa seperti layaran, keli, tuna, tarpon, jerung, pari air tawar, kerakap Sungai Nil sehingga mendapat pengiktirafan dari Persatuan Sukan Memancing Antarabangsa (IGFA) kerana kebolehan mendaratkan ikan terbesar menggunakan kaedah memancing.


Hasil tangkapan bersaiz mega yang menaikkan nama beliau sebagai pemancing tersohor dalam arena memancing.

Ini diperkuatkan dengan rekod yang dicapai dalam kerjaya profesionalnya sebagai pemancing ikan Arapaima Gigas terbesar seberat 154 kilogram (kg), disusuli tangkapan lain seperti keli Wel (110 kg) dan Goliath (75kg).


Jakub Vagner bersama tangkapan ikan kerakap atau siakap Sg Nil

Rekod ini kemudian dipecahkan beliau pada Februari hingga Mac 2008 apabila mendaratkan ikan Goliath seberat 215 kilogram iaitu ikan air tawar paling besar pernah ditangkap dalam ekspedisi memancing di sungai Amazon, Amerika Selatan.


Aksi paling menarik yang ditonjolkan beliau.Jakub berpengalaman luas dalam teknik menaikkan ikan besar ini.

Kehandalan bekas peguam ini mendaratkan ikan bukan untuk dijadikan lauk untuk makanannya malah dalam kesemua hasil tangkapannya akan dilepaskan kembali mengikut konsep tangkap dan lepas yang diamalkan oleh pemancing profesional lain.

Keghairahan Vagner tidak habis sekadar memancing, beliau turut menerbitkan dokumentari yang antaranya pernah disiarkan dalam rancangan Discovery dan National Geographic iaitu alam siri ‘Hooked’ dan ‘Fish Warrior’.


Ikan White Sturgeon yang berjaya ditangkap menerusi teknik dasar. Perlawanan memakan masa hampir sejam untuk menaikkan ikan berskala 20 kg ini. Good Job!!

Beliau turut menerbitkan sebanyak 14 keping DVD berkaitan aktiviti memancingnya di seluruh pelusuk dunia. DVD terbabit pernah dijual kira-kira 500,000 salinan hanya di tempat kelahirannya di Republik Czech.

Usaha beliau diteruskan lagi dengan berkongsi pengalaman melalui artikel mengenai aktiviti memancing dan sering dijemput menjadi tetamu dalam siri bual bicara program televisyen dan radio di Eropah.


Jakub sering dijemput dalam siri temu bual untuk berkongsi pengalaman beliau.

Sehingga hari ini, keghairahan Vagner memburu ikan bersaiz mega masih diteruskan dan menurutnya, spesies ikan air tawar bersaiz lebih mega masih belum tertunai bagi memecahkan rekod sedia ada dan berazam melakukannya supaya rekod itu tidak boleh dicabar oleh pemancing lain.